Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 11 Julai. - Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Nakhoda Ragam menerima seramai 243 pelajar baharu bagi kemasukan sesi Julai 2025, yang hadir mendaftar pada 10 dan 11 Jun 2025 lalu di Dewan Serbaguna kampus berkenaan.
Daripada jumlah tersebut, para pelajar akan mengikuti pelbagai program seperti Sijil Pendidikan Teknikal Tertinggi Kebangsaan (HNTec) in Electrical Engineering (di bawah kawalan Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan Pusat), HNTec in Real Estate Management & Agency, HNTec in Construction and Draughting, HNTec in Geomatics, dan NTec in Building Craft (di bawah kawalan Sekolah Perkhidmatan Teknologi Bangunan).
Majlis pembukaan rasmi Minggu Orientasi bagi semua pelajar baharu IBTE tersebut diadakan pada 10 Julai 2025, bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC), Berakas.
Pelaksanaan minggu orientasi di IBTE Kampus Nakhoda Ragam pula bermula hari ini dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Sekolah Perkhidmatan Teknologi Bangunan, Awang Noorisman bin Mentarais.
Awang Noorisman dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan rasa syukur dan teruja kerana berpeluang bertemu secara langsung dengan para pelajar baharu walaupun dalam suasana norma baharu yang masih memerlukan langkah-langkah keselamatan.
Beliau turut menggesa para pelajar agar menjadikan peluang tersebut untuk mempersiapkan diri menjadi individu yang berkebolehan, berkemahiran, berdaya saing dan memiliki kekuatan dari segi fizikal, rohani, intelek serta sosial.
"Pelajar baharu perlu sentiasa berusaha untuk memperkasa jati diri sepanjang tempoh pengajian mereka di IBTE serta menetapkan komitmen dalam mencapai matlamat peribadi dan akademik mereka," ujarnya.
Minggu Orientasi yang berlangsung sehingga 18 Julai 2025 tersebut dirangka dengan pelbagai pengisian bermaklumat termasuk Taklimat Keselamatan (HSE), Ceramah Motivasi oleh Unit Kaunseling, Taklimat Disiplin, Peraturan Peperiksaan dan Penilaian, serta lawatan ke sekitar kampus dan perpustakaan.
Aktiviti kokurikulum (CCA) juga dijalankan dengan kerjasama eLab STARS (Students Activities Rewards System) dan Majlis Perwakilan Pelajar Kampus.
Antara objektif Minggu Orientasi tersebut adalah bagi membantu para pelajar baharu menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus dan persekitaran pembelajaran teknikal, di samping mengelakkan kejutan budaya serta memupuk budaya belajar yang lebih matang dan berdikari.
Pihak kampus juga berharap agar pendedahan dan aktiviti sepanjang Minggu Orientasi tersebut akan memberi kesan positif kepada pelajar dalam memahami budaya institusi dan meningkatkan keyakinan diri mereka untuk melangkah ke alam pengajian yang lebih tinggi.